APRIL 2023

Sumber Tenaga Baharu Bakal Diumumkan Bulan Depan


SIBU, 25 April : Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan pada Selasa teknologi baharu berasaskan tumbuhan lumut bakal diumumkan bulan depan.

Beliau berkata bahawa teknologi berasaskan lumut tersebut boleh dijadikan tenaga bahan api lestari dan juga produk-produk perubatan yang baru.

“Bulan depan saya akan mengumumkan satu lagi teknologi yang dicipta di Sarawak yang belum wujud di dunia. 

“Teknologi ini membolehkan kita mengeluarkan bahan api daripada tumbuhan lumut dan juga produk-produk tempatan yang baharu,” katanya. 

Beliau turut menambah bahawa akan ada pembangunan baharu di Sarawak dalam masa tiga bulan yang akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tanpa mendedahkan sebarang butiran, ia melibatkan institusi yang boleh mengembangkan ekonomi Sarawak.

“Dalam masa tiga bulan ini ada lagi perkara yang saya bawa ke Sarawak yang akan memberi impak kepada industri kecil dan sederhana,” kata beliau. 

Beliau bekata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Premier Sarawak di Dewan LAKIS bersama Isteri YABhg Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tun Tunku Haji Bujang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee dan tetamu-tetamu kenamaan lain. -Sarawakku

Sumber dari : Sarawakku